Thursday, March 11, 2010

_taUBat SeoRANG hAMba_

" Hisablah dirimu sebelum dihisab".
"Kecamlah dirimu sebelum dirimu sendiri dikecam Allah". " Anggaplah dirimu sebagai orang yang paling berdosa".
" Kalau ditakdirkan semua manusia masuk kedalam syurga kecuali seorang….aku rasa akulah yang seorang itu." Demikian titipan mutiara kata orang yang hampir dengan Tuhan. Pegangan diri para Rasul, Nabi dan Wali.
Kerana keyakinan itu lahirlah manusia seperti Abu Bakar - yang merasakan dirinya lebih hina daripada sehelai rumput ;
Umar - yang merasakan nasib seekor anjing lebih bernasib baik daripada dirinya;
Abu Huzaifah- yang sentiasa curiga dengan iman dan islamnya;
Salman al-farisi- yang merasakan maut sentiasa memburunya.

Kini ku asah rasa itu yang datang cuma sekali-sekala. Rasa yang bukan selalu bertandang di dalam hati. Bukan mudah menghinakan diri di depan Allah. Amat payah menekan ego dan bangga ke paras bawah. Jarang diri mahu luahkan kata-kata pahit yang terlalu sakit untuk didengar.
Kini ku adukan, mengapa sangat berat langkah ini menuju Allah ?
Mengapa diri seperti ditolak ke belakang dalam perlumbaan menuju khairat( kebaikan ) dan maghfirah ( pengampunan )?
Mengapa hati terhijab lagi dari taufik dan pimpinan ?
Mengapa hati masih tertipu oleh bisikan dan pujukan nafsu, terpesona dengan nikmat dunia ?
Mengapa fikiran seakan tersumbat,jiwa lesu dan jasad memberat di jalan jihad ?
Ya Allah, masih adakah lagi petunjukMu buat insan yang derhaka sepertiku?
Ku lakukan dosa dalam sedar dan yakin KAU Maha Melihat.
Aku melawan kehendakMu terang-terangan.
Ya Allah, alangkah besarnya kederhakaan ku kepadaMu.
Ya Allah jauhkan aku dari kekufuran seperti jauhnya Timur dan Barat….
Oh, aku tersepit, terhimpit diruang sempit. Di antara dua rasa yang tidak menentu.
Buat baik kurasa derita, buat jahat terasa siksa.
Ku cuba membenci dunia tetapi kecintaan akhirat belum terasa.
Mujahad aku memberat, sarat dengan pelbagai rintangan.
Ammarah dan lawwamah silih berganti membunuh kecintaan Ilahi yang datang sekali-sekala. Mungkar dan maksiat menenggelamkan secebis nikmat yang pernah dikecap dari munajat dan doa.
Inilah rintihan, oleh hati yang kian tertekan. Dari diri yang amat resah, amat gelisah.
Jiwa disiat dek sembilu tajam. Terbenam di dalam luka yang paling dalam. Membuak darah, membengkak nanah yang parah.Bisanya sampai ke hulu hati. Membakar jiwa yang gersang daripada semua ketenangan dan ketenteraman.
Dunia dipandang gelap. Walau mentari, bulan dan bintang masih menebar sinar..tetapi matahati sudah nanar. Jiwa kian buta. Kian goyah taufik dan hidayah….
Oh..mengapa sehitam itu lorong hidupku.Ku cari punca masalah hingga tafakurku terganggu jemu. Apakah ini pencarian sesat memberat penat ?
Apakah ini resah rasa yang makin menanah mendenyut bisa ?
Telahku tinggalkan permulaan jalan, telah habis dayaku melangkah tetapi hujungnya masih jauh.
Aku sesat dalam rimba keliru beribu liku.
Apakah aku yang berjalan atau jalan yang berjalan ?
Aku sangsi. Aku mahu lari ke hujung dunia. Mahu ku lontar jauh-jauh pilu dan duka ini.
Mahu ku banting masalah yang memeningkan ini. Biar duka yang membengkak ini pecah…
Biar memancut bisanya yang bergaul pedih. Aku tidak peduli. Kadang aku termenung meminta jawapan hati kepada semua ini.
Di mana puncanya? Di mana tapak mula semua keserabutan ini. Aku mengadu kepada Allah. Dia menjawab melalui sabda Rasul-Nya: " Sesungguhnya yang dikatakan dosa itu ialah sesuatu yang mendatangkan keresahan hati"

Tetapi pelik aku mungkiri janji itu.
Aku langgar lagi pantang larangNya. Kutempuh lagi jalan dosa. Aku tidak punya kekuatan untuk bertindak. Aku terbelenggu oleh nafsuku. Dan ketika itu datangkan firman Allah ini mengingatkan :" Apakah tidak kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan" Ku baca berkali-kali firmanMu itu.
Aku bertuhankan nafsuku ? Bunyinya amat pedih dan pahit. Mungkin inilah yang pernah dikatakan oleh IbrahimAdham: " Aku telah bunuh tuhanku". Ya Allah aku sakit…sembuhkanlah. Ya Allah aku lalai..ingatkanlah aku. Ya Allah aku liar…jinakkanlah aku. Aku tempang, aku penat…bimbing dan pimpinlah aku. Sesungguhnya aku bagaikan kelawar buta yang disimbah sinarMu yang melimpah. Namun ya Allah..aku belum berputus asa. Rasa berdosa inipun sudah sebesar rahmat. Hati yang masih boleh merintih petanda ia masih bernyawa. Masih berdenyut nadi kebenaran walaupun getarannya terlalu lemah. Masih ada titik kecil dalam jiwaku buat menampung peringatan dariMu. Aku syukur wahai Tuhan…
kerana aku sedar selama ini aku tidak bersyukur.
Kini ku masih cuba mengatur pelayaran baru…dengan kolekku bertampung seribu. Dayungnya pernah patah. Layarnya koyak rabak…dilaut luas ombak mengganas, badai bertiup buas. Namun aku akan terus berkayuh. Aku yakin KAU tidak jemu padaku selagi aku tidak berputus asa dengan-Mu. Dengannya akan ku buru taubat yang belum terlambat. Aku tidak akan mengah dan lelah lagi.Kerana bekalku kini harapan, bernafas dengan janjiMU tentang pengampunan!!.

Ya Allah.....Kau bantulah aku......... Hanya padaMu ku menyembah dan dariMu ku mohon perlindungan......Aminn.........

No comments:

Post a Comment