Saturday, April 10, 2010

_Kisah Seorang AnaK_


Salam...... utk pgtahuan pembace yg sudi meluangkan mse membce catatan ini...cerita ini tiada kaitan dengan sya...ia adalah kisah yg sya prolehi dri seorg shbt ( xtahu la dy dpt citer ni dri mane).. jd, sy hya ingin brkongsi stu kisah yg sy rsakan mnrik n bleh menjadi pnduan buat kita bsama.....

************************************************************************************
Seluruh kampung semacam tak percaya. Tapi itulah hakikatnya. Ramli, anak arwah Pak Hamid (bukan nama sebenar) pulang dari luar negara sebagai seorang jurutera dan hafiz. Semalam dia mengimamkan solat tarawih. Lunak dan lancar bacaannya. Mereka yang tidak kenal asal-usul Ramli, kagum. Mereka yang lebih mengenali, lebih kagum.

Saya adalah antara generasi anak kampung yang masih mengingati Pak Hamid. Malam setelah pulang dari solat tarawih, saya berbual-bual dengan anak saya.

"Ayah nak kamu contohi imam muda tadi. Sudahlah hafiz, jurutera pula.."

"Hebat betul."

"Kalau kamu tahu sejarah hidup dia, kamu akan lebih kagum."

"Ayah tahu?"

Saya mengangguk.

"Dah tentu. kan ayah anak jati kampung ni."

**

Mata saya merenung ke luar tingkap rumah. Pohon nyiur melambai-lambai di kegelapan malam yang disinari cahaya purnama. Dua hari lagi, Aidilfitri menjelang tiba. Sesekali pulang ke kampung terasa kedamaiannya. Nostalgia kisah Pak Hamid terbayang kembali di ruang mata.

"Ayah nak cerita ni sekadar mengambil iktibar. Bukan hendak memburuk-burukkan orang yang telah mati.." perlahan saya memulakan cerita.

"Kenapa begitu sekali ayah?"

"Pak Hamid terkenal di kampung ini sebagai orang yang buruk perangainya. Solat tidak. Puasa tidak. Menjengah ke surau langsung tak pernah. Berjudi, minum arak dah jadi kebiasaannya."

"Ramli tu terseksa sejak kecil lagi. Dibentak-bentak. Makan minum, pakaian dan sekolahnya tidak terurus langsung... "

"Tapi macam mana dia boleh mencapai kedudukannya seperti sekarang?"

"Itulah luar biasanya Ramli ni. Dalam serba kekurangan dan cabaran itu dia gigih. Rajin belajar. Berdikari mencari rezeki."

"Ibunya macam mana?"

"Ibunya dah lama meninggal dunia. Kata orang, itulah sebabnya Pak Hamid jadi begitu. Berubah sejak kematian isteri."

"Sedih juga... "

"Kalau orang lain dah lama putus asa.Tapi Ramli tidak. Hasil keputusan cemerlang di sekolah rendah dia terus belajar ke sekolah asrama penuh. Dan entah macam mana kaedah dia mampu meneruskan pencapaian akademik dan hafaz Quran sekaligus. hebat."

"Sekarang ni ayah, dah ramai yang menempuh sistem ini. Ada caranya."

"Baguslah, jika berpeluang kamu ikuti jejaknya. Kembali kepada kisah Pak Hamid... dia meninggal tak lama selepas Ramli melanjutkan pelajaran ke sekolah asrama penuh. Ayah masih ingat... " saya sebak.

"Kenapa ayah?"

"Waktu Ramli pulang menjelang pengkebumian jenazah ayahnya dia menangis. Sebatang kara. Orang kampung kata macam-macam tentang arwah ayahnya. Berdosa besar. Jenazahnya berat... berat dosalah. Macam-macam. sedih ayah rasakan, Ramli yang masih muda tu terpaksa menanggung kecaman di hari kehilangan orang yang disayanginya. Mujurlah ada datuk kamu... "

"Hai, datuk pun ada peranan dalam kisah ni?" Tanya anak saya.

"Ayah masih ingat datuk kamu panggil Ramli untuk berjalan bersama dari tanah perkuburan. Ayah ada sekali."

"Apa kata datuk?"

"Ramli, kalau benar sayangkan ayah kamu... jadi anak yang soleh. Doakan dia. Itu sahaja jalannya untuk menyelamatkan ayah kamu di akhirat." Anak saya terdiam. Terkesima agaknya. Matanya mula redup.

"Datuk kamu menyambung lagi... untuk harumkan kembali nama ayah kamu di dunia, belajar sungguh-sungguh. Jadi orang yang berjaya dalam hidup. Insya Allah, kecemerlangan kamu akan menjulang kembali nama ayah kamu yang dikata-katakan orang pada hari ini."

"Macam mana reaksi Imam Ramli waktu itu?"

"Dia hanya mengesat airmata dan mengangguk-ngangguk."

"Hebat betul ayah, sekarang semuanya semacam menjadi realiti."

"Memang hebat. Anak yang baik daripada ayah yang sedemikian. Kamu bagaimana?"

"Saya bertuah... ada ayah!"

Saya terdiam. Terusik hati saya, adakah aku ayah yang baik?

"Kamu mesti terima kenyataan bahawa kita masih mampu menjadi anak yang soleh walaupun bapa kita bukan seorang yang soleh... Dan tidak semestinya bapa soleh maka anaknya secara automatik menjadi anak yang soleh."

"Kenapa ya?"

"Itulah bukti keadilan Allah. Dosa dan pahala tidak boleh diwariskan. Setelah akil baligh setiap kita punya potensi sendiri, nak menjadi baik atau sebaliknya."

"Jadi, seorang ayah yang soleh tak boleh membentuk anak yang soleh?"

"Tak begitu. Didikan ibu bapa sangat memainkan peranan. Anak yang dididik secara baik, berpotensi besar menjadi anak yang soleh bila dewasa nanti. Tetapi, masih ada usaha yang dia sendiri perlu lakukan untuk meneruskan program menjadi insan soleh. Jika program itu dipatuhinya, alhamdulillah. Jika menyimpang, dia terima akibatnya."

"Saya setuju dengan pandangan ayah. Inilah bukti keadilan Tuhan. Jika tidak... setiap anak terpaksa menanggung akibat kesalahan ibu bapanya tanpa berpeluang untuk mengubah keadaan dirinya."

"Ya, itulah yang dibuat oleh Imam Ramli. Demi cinta kepada ayahnya, dibela maruah ayahnya di dunia dan akhirat. Tolong buat begitu jika ayah telah tiada... " semacam wasiat pula kata-kata saya.

**

Pada pagi raya, selepas solat Aidilfitri... kami sama-sama menziarahi pusara di pinggiran kampung. Saya lihat Imam Ramli duduk di tepi pusara ibu dan ayahnya. Saya dan anak duduk di tepi pusara insan yang paling kami sayangi... ayah saya, datuk anak saya. Lelaki yang pernah menasihati Imam Ramli. Mudah-mudahan rohnya bersemadi di sisi orang soleh. Nasihatnya sangat memberi bekas ... saya yakin ayah ikhlas waktu itu. Saya masih ingat dialog ayah dengan Imam Ramli belasan tahun yang lalu di kawasan perkuburan ini. Saya di sisi mereka. Saya melihat air mata ayah mengalir sewaktu meluahkan nasihatnya... Oh, mampukah saya seikhlas itu?


_tamat_


diharap kita same2 mndapat tauladan dri crita ini....


No comments:

Post a Comment